Undilah...

Tuesday, May 1, 2012

Seksualiti Merdeka 2



AMARAN: *Untuk bacaan 18 tahun ke atas dan dari paras lutut ke atas*

Masih ingatkah kita dengan Seksualiti Merdeka? Satu program yang kononnya berteraskan perjuangan hak asasi manusia dengan menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual atau LGBT untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Mereka kini buat hal lagi. Baru-baru ini pada 27 April 2011 golongan-golongan LGBT ini sekali lagi dengan rasa berani menganjurkan perhimpunan secara aman menyuarakan suara mereka dan menyampaikan mesej bahawa "LGBT bukan jenayah". Mereka juga telah mengajak orang ramai yang menyokong hak asasi manusia untuk turut serta bersama mereka di dalam perhimpunan itu demi perjuangan mereka.

 
 
 
Cuba bayangkan, kalau dah alu bertemu alu, lesung tidak berguna lagi. Kalau dah lesung bertemu lesung, cili geleng-geleng kepala. Alamat tak makanlah kita. Cili tak hancur dan masih elok didapur.  Yang ada hanya adalah bunyi bising hentakan lesung dengan lesung, dan bunyi geseran alu dengan alu. Hah gitu.
 

Dan... masih ingatkah kita dengan Din? Ala Din kawan Dato' tu. Dato' pernah cerita pasal Din dalam episod pertama Seksualiti Merdeka di sini Seksualiti Merdeka. Orangnya jujur, baik, tak pernah maki polis, tak pernah baring atas jalanraya dan belum pernah lagi terkena gas pemedih mata. Din ni berakal panjang dan berlidah pendek. Hah gitu. Bukannya nak mengutuk, tetapi dengan sifatnya yang begitu menyebabkan salah paham macam hari tu. Hari Ahad dikatakan hari Ahat. Isnin jadi Ithnin. Semua hari dia balun. Mana boleh tahan. Untuk mengimbas kembali, Din ni baru kahwin hujung tahun 2011.
 


Kali ini Din buat hal lagi. Baru sebentar tadi, Din ni duk SMS Dato'. Ni tak lain ni mesti masalah seksualiti merdeka ni. Tapi ok jugak dia pakai sms. Taklah timbul salah paham. Dato' dah pun buat screenshot untuk anda semua mengikuti permesejan Dato' dengan Din.

 
Nampak tak? Takde kerja lain si Din ni. Kalau nak kembalikan semula benda yang dipinjam, bolehlah Dato' tolong. Dan kalau benda tu Dato' punya takpe, ini dia sendiri punya, dia sendiri dah ambik, dia pulak tanya suruh kembalikan. Hah gitu. Tapi takpe, sebagai kawan Dato' reply sms dia elok-elok. Kebetulan Dato' pernah terbaca petua sikit-sikit. Pernah juga terclick ke website-website berkenaan semasa sedang dan tengah sesat.
 
 
 
Setelah beberapa ketika, sedang Dato' menonton Autobot dan Decepticon bertarung di jalan Tuanku Abdul Rahman, KL, masa part dia terbalikkan kereta polis tu, Dato' menerima lagi sms dari Din.
 
 


 
Setelah beberapa minit berlalu...
 
 


Tengoklah tu. Macam ini ke kawan? Bila tak jumpa kunci, sibuk cari kawan. Tapi bila dah jumpa kunci, bila dah masuk dan bila tak jumpa jalan keluar, lupa kawan!


Sunday, April 22, 2012

Kecik Punya Hal

Pernah tak anda menghadapi situasi seperti berikut? Lepas makan bersama rakan dan bergelak sakan, ketika ingin membuat pembayaran, tiba-tiba anda terperasan yang misai mamak cashier tu semakin melentik. Kepala mamak tu semakin laju berswing. Sebabnya bila anda check-check balik dompet anda, tiada cash di dalam. Anda menggelebah, lalu meminta rakan anda tolong bayarkan di atas kealpaan anda tidak membawa tunai bersama. Tapi rakan anda tu cool sahaja, lalu berkata, " Takpe bro, aku bayarkan, ini kecik punya hal..."


Situasi yang lain pula, rakan anda sedang menanti anda di kopitiam. Bukan seminit dua, dah sejam dua anda tak sampai-sampai. Bila dia call tanya mana anda, anda kata on the way. Padahal anda dah terkantoi di situ bila suara serak-serak basah anda terpacul, baru bangun tidur. Lepas tu anda rasa malas nak jumpa rakan anda itu, lalu anda sms dia, kata anda tak dapat datang sebab ada emergency. Itupun rakan anda tu boleh bersabar dan reply sms anda "Takdehal bro, kecik punya hal". Rakan anda pun satu. Dah sepuluh tahun tak jumpa tiba-tiba nak jumpa. Ini mesti ada kaki katak di sebalik mee kopitiam. Sama ada nak jual produk MLM atau nak jual barang MLM.


Atau situasi ini? Anda terlambat masuk meeting atau ke kelas. Lambat dalam 25 minit. Dah macam Michael Learns to Rock pulak. Hah gitu. Kemudian anda kena sound direct dan anda tak puas hati mengapa anda dipersalahkan. Pada pendapat anda, lambat sikit dan tidak tepati masa adalah kecik punya hal. Apalah anda ni.


Ataupun tiba-tiba anda dapat tahu daripada berita Melodi yang artis kegemaran anda telah didapati mabuk laut ketika bercuti ke Langkawi. Anda pun mengeluh, "Eleh, biasalah mabuk, kecik punya hal ni". Atau anda baca paper dan mendapati yang ahli politik pilihan anda didapati berkhalwat. "Ek eleh, kecik punya hal ni, dia berkhalwat je, bukannya sebat duit rakyat".


Hari tu kecoh bila tiga orang penari tiang yang didapati bersalah hanya didenda RM25 setiap satu. Rata-ratanya tak puas hati dengan denda yang sebegitu. Yelah RM25 hinggit je. Siapa-siapa pun boleh bayar. Dato' pun boleh bayar RM75 untuk lepaskan diaorang. Tapi Dato' takut Dato' pulak yang kena pegang tiang berpaut lepas tu, sebab diaorang tak mau lepaskan Dato'. Maklumlah terhutang budi gitew. Hah gitew. Ala, relaxlah, bergurau takkan tak boleh. Kecik punya hal!


Eleh kalau setakat RM25, Mr. Moo pun boleh kasi discount free service. Eh tapi tak boleh, kalau Mr. Moo tahu, nanti dia kasi service, dia pergi repair pulak tiang tu. Tak boleh, tak boleh. Kalau bagitau Mr Moo, lagi menjadikan tarian tiang semakin berleluasa di kalangan masyarakat kita, ibarat terowong SMART tutup selepas hujan - kereta makin banyak. Hah gitu. Kisah Mr. Moo boleh dibaca di sini >>>>> Mr. Moo


Sebenarnya mereka ini didakwa di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. Senang cerita penari tiang itu dihukum RM25 sebab kesalahannya kecik punya hal je. Ala menari tiang je, kecik punya hal je. Banyak contoh kes-kes sebelum ni yang didakwa atas seksyen ni. Antaranya;


1) Di Kuantan, seorang lelaki menerima didenda RM100 di Mahkamah Trafik di sini semalam, selepas menghina seorang anggota polis dengan kata-kata kesat (Sinar Harian, 7 December 2011).

Biasalah, maki polis. Engkau orang pun macam tak biasa maki polis. Tapi setakat dalam kereta ajelah. Hah gitu. Ada pulak yang bila kena tahan, kena saman, pastu maki polis siap rakam video masuk youtube. Dah jadi kebiasaan pulak sekarang ni. Kecik punya hal.

Kalau dulu kena tahan, kena saman, bukan main lagi merayu... "Tok... tolonglah... jangan saman...Tok tau tak, saya banyak anak nak tanggung ni". Secara tiba-tiba je, polis tu sah menjadi atuk angkat kita.


Kalau sekarang, kena tahan, kena saman, bukan main lagi maki... "Hey, apa salah saya...U cakap, saya mau tau apa kesalahan saya?". Siapa yang ajar kita buang sikap hormat? Sekian dimaklumkan.



2) Sama juga dengan kes ni. Di Terengganu, tiga lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan memaki dan membaling plastik berisi sos cili terhadap polis serta memiliki mercun ketika perlawanan Liga Super, Terengganu menentang Kelantan. Kes pertama membabitkan penganggur, Tuan Mohd Hasbullah Tuan Abd Razif, 24, yang didakwa mengeluarkan perkataan ‘baliklah polis berambus, polis bodoh’ terhadap anggota polis yang bertugas di luar stadium selepas tamat perlawanan. Tuan Mohd Hasbullah yang berasal dari Kampung Chepoh di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dikenakan hukuman denda RM80 oleh Majistret Noor Adila Abd Latif. (Berita Harian, 8 June 2011)


3) Di Kuala Lumpur, seorang pelayan pelanggan (GRO) yang mengaku menari bogel dalam bilik di sebuah kelab hiburan di sini, dikenakan hukuman penjara empat hari dan denda RM25 oleh Mahkamah Majistret. (Berita Harian, 6 April 2004)



Semua orang pernah melakukan kesalahan sama ada kesalahan kecil dan besar. Dan Islam, dosa kecil dan besar juga berbeza. Kalau dosa-dosa kecil boleh dihapuskan dengan banyak cara, antaranya kalau jatuh sakit lalu diikuti dengan penginsafan. Kalau dosa-dosa besar pula boleh dihapuskan dengan bertaubat nasuha.


Orang-orang kita ni biasalah, kalau penari tiang didenda RM25, kena kata, sebab kecik sangat denda dan kata diaorang ni takkan dapat pengajaran. Tapi kalaulah penari tiang tu didenda dengan berat seperti penjara 10 tahun, akan kena kata jugak, kena padan muka, baru dia rasa. Sepatutnya penari-penari tiang itu dibimbing dan dikaunseling ke arah jalan yang baik. Perlunya ada pihak-pihak yang boleh membantu mendidik mereka.




Mungkin mereka perlukan bimbingan tetapi tidak tahu bagaimana mereka boleh perolehi. Dato' pun boleh bagi tarbiyah dan membawa mereka ke jalan yang betul. Tapi Dato' akan pastikan jalan itu jalan yang tiada tiang lampu macam jalan kampung dan tempat tarbiyah tu sebuah padang dan tempat yang lapang, sebab takde tiang. Kalau tidak, elok-elok Dato nak tarbiyah, terus Dato' jadi terbiar. Hah gitu. Ala janganlah marah, ini kecik punya hal lah.


Ok, ini serius. Kita mungkin bersetuju yang undang-undang kecik punya hal tu perlu dipinda terutamanya yang melibatkan akhlaq dan syariah Islam seperti ini. Tapi sementara nak tunggu undang-undang ini dipinda, sementara nak tunggu ahli-ahli parlimen bergaduh dulu, sementara nak tunggu ahli parlimen maki sesama mereka sepatah dua kata, sementara itu kita perlu pastikan tiada lagi anak-anak muda kita terlibat di dalam aktiviti yang tidak sihat ini. Dan sementara itu, biarkan mereka ini didenda RM25, kemudian langkah seterusnya memastikan mereka ini tidak mengulangi kesalahan yang sama. Jangan lepas ni RM25 tu macam renewal fees untuk mereka meneruskan career di tiang.


Sebut pasal kesalahan kecik punya hal, ada kawan Dato' di Johor, dia ada buat salah. Tak besar mana pun salah dia, dia kena denda RM22.50 sebab bercinta dengan anak dara orang. Kecik kan salah dia, denda pun kecik. RM22.50 tu sebenarnya mas kahwin kat Johor. Walaupun denda kecik, tapi tanggungjawab dia besar sebagai seorang suami. Dengan RM22.50 akhirnya bukan setakat menari di tiang, malah hari-hari tiang dia dapat ditegakkan. Jangan sentap ok, kecik punya hal ni. Maksud Dato' di sini tiang keharmonian rumah tangga!

Monday, April 16, 2012

Drama Larut Malam

3 orang ibu sedang melepak dan berbual-bual kosong di halaman rumah. Banyak topik yang dibincangkan dari bab main kutu, gaji kerajaan naik, Aaron Aziz menang anugerah, kes Rita Rudaini, kisah Safee Yang Menunggang, cerita Lisa Surihani kahwin dan cerita anak jiran sebelah yang tak kahwin kahwin.

Setelah selesai kenduri daging, ibu A bertukar topik tentang anak-anak mereka.

"Anak saya si Amran tu dulu masa kecik suka sangat main badminton. Tengok dah besar ni, dia dah wakil negeri jadi pemain badminton. Tak payah pinjam PTPTN pun, dah ada karier pun dia", kata ibu A.

"Wah, bertuahnya awak Cik Yah. Anak saya pulak dapat pendidikan percuma lagi. Senang, tak payah pening kepala pinjam PTPTN. Bila dah pinjam, mana lagi nak pikir, nak bayar hutang lepas dapat kerja, lepas tu nak pikir kena berdemo mansuh PTPTN lagi, nak pikir kena buat khemah kat dataran merdeka lagi, hei pening kepala", sambung ibu B.



"Hamboi Cik Som, bukan main laser lagi, sempat lagi yek isu semasa," balas ibu A.



"Biasalah Cik Yah, skrip pun Dato' Shah yang tulis kan. Kita ni melakonkan watak je, hah gitu", kata ibu B.



"Eh anak awak dapat pendidikan percuma tu kerja apa?", tanya ibu A.
Askar. Anak saya yang askar tu, Sham, dulu kecik-kecik tu suka sangat main senapang kayu", kata ibu B.



"Eh... eh... eh... berani mati ye dia... Kamikaze...", sampuk ibu A.



Tiba-tiba ibu C merasa cemas dan berubah wajah. Ibu A dan B kemudian bertanya ingin mendapatkan kepastian daripada ibu C.



"Ermmm... anak perempuan saya... yang kecik tu... sekarang ni suka sangat main..."


"Laaa.... Main sembunyi-sembunyi ibu balik tiang. Dah besar nanti, entah-entah dia jadi arkitek. Oklah tu cik Kiah ooi... apa yang nak dirisaunya...?"


_________________________________________________________________________________
SEREMBAN – Tiga wanita beragama Islam didenda RM25 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan kurang sopan dengan melakukan aksi tarian tiang di sebuah pusat hiburan di Nilai dekat sini Sabtu lalu.

Faiqah Azizan, 24, Nurul Huda Abdul Rahman, 23, dan Nooranishah Mohamad Isa, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga wanita tersebut yang berasal dari Kuala Lumpur didakwa mempamerkan tarian tiang di atas pentas dengan pakaian kurang sopan di tempat hiburan awam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari jika sabit kesalahan.

Mereka adalah tertuduh beragama Islam yang pertama di Negeri Sembilan disabitkan kesalahan melakukan tarian tiang di bawah akta tersebut.

Mohamad Izwan dalam penghakimanannya berharap kesemua tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu demi menjaga nama baik diri dan keluarga mereka.

Kosmo

Tuesday, March 27, 2012

Kolumpo

Orang dulu panggil "Kolumpo". Itu zaman Dato’ dalam tahun 1980’an. Sebutan yang ringkas dan nampak kekampungan. Lama-lama sebutan "Kolumpo" itu menjadi dua huruf, iaitu "KL". Sebutan yang nampak elit elegant  dan moden. Sebutan itu dimulakan oleh orang Kuala Lumpur sendiri. Maka orang-orang yang kekampungan tadi  dah segan nak sebut "Kolumpo". Kononnya hulu sangat bila menyebutnya. Zaman sekarang pulak orang tak sebut "KL", orang dah sebut "Kay Yel". Sebutan yang nampak geli geleman dan pemiliknya datang dari generasi Facebook. Generasi yang bahasanya kucar kacir yang lebih kucar kacir daripada David Teoh. Sekurang-kurangnya David Teoh masih mahu memartabatkan bahasa Melayu walaupun pantun dia huru hara. Hah gitu. "Kay Yel" pun ok lagi. Ada satu lagi jenis sebutan untuk ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur yang Dato’ rasa kesian pulak mendengarnya. Mungkin kerana dia sedikit gugup dan juga mungkin kerana gagap.

“Bro, nak pergi mana?”

“Sesesese...saya... nnnnnnnnakk... pepepepergi... K...K…K…K…L bang!


Apa pun sebutannya, "Kolumpo" ke, "KL" ke, "Kay Yel" atau K…K…K…K…K..L, Kuala Lumpur ni satu bandar yang penuh dugaan. Sesiapa sahaja yang tiba di sini buat kali pertama, sama ada dia akan sesat atau dia terus sesat. Dia akan sesat sebab  jalanraya yang bersimpang siur, dan dia terus sesat sebab kalau tak jaga diri, dia akan termasuk ke dalam simpang siot. Hah gitu.

Begitu juga dengan diri Dato’ yang mempunyai pengalaman menjejakkan kaki ke Kolumpo ini. Ketika itu hati amat girang apabila ikut abah dan mak ke Kolumpo menziarahi ibu saudara iaitu kakak abah. Masa tu sampai-sampai je Kolumpo, Dato’ terus cop bandaraya flyover. Kenderaan pulak banyak, sama banyak dengan traffic light. Kolumpo ni undang-undang jalan raya dia berbeza sikit. Kalau kat traffic light bila lampu merah, wajib bagi yang berhenti memandang lampu isyarat pihak lawan yang sedang hijau. Apabila lampu isyarat sebelah sana dah merah, kita dah boleh standby. Tapi bila lampu isyarat kita warna hijau, jangan jalan dulu, tengok kiri dan kanan, pastikan kereta dari arah yang lain berhenti, kalau tak kita yang jalan. Hah gitu.


Satu lagi kalau kat tempat lain, kalau tengah-tengah jam, atau kenderaan berhenti, pastikan bila menghampiri kenderaan di hadapan, selagi anda nampak tayar kereta tersebut, anda boleh berhenti. Tapi kat Kolumpo ni, bila menghampiri kenderaan, selagi anda nampak no. plat kereta di hadapan, jangan berhenti.

Ada satu pengalaman yang tak dapat dilupakan semasa mula-mula sampai di Kolumpo. Ketika kami melepasi tol Sungai besi, tiba-tiba pancaran kilat menyabung ke arah kami yang berada di dalam kereta. Dato’ yang ketika itu baru tumbuh jerawat, hanya mampu berselawat. Mak kemudian menenangkan Dato’ dan adik-adik. “Ala, takde apa-apa, kilat sikit je tu. Nak hujan agaknya, kan bang?”, kata mak.

Abah yang pada mulanya kelihatan sugul, kemudian melemparkan senyuman ke arah kami dan mengangguk tanda setuju.

Pada masa itu takde lagi terowong SMART, tetapi banjir kilat jarang-jarang berlaku di Kolumpo ni. SMART Tag pun takde lagi masa tu, yang ada semua guna SMART Hand, sebab Touch and Go pun belum ada, yang ada Touch Hand and Go. Mula-mula pandang  toll gate girl, hulur tiket, hulur duit, ambik baki, touch sikit, and go. Hah gitu.

20 tahun pertama Dato’ pergi ke Kolumpo sebagai pelawat dan selepas itu Dato’ tiba ke Kolumpo sebagai permaustautin sebagai student sehinggalah sekarang sebagai pekerja di sini. Motorsikal merupakan kenderaan utama Dato’ untuk bergerak mencari ilmu dan rezeki di Kolumpo ini. Kenderaan kat Kolumpo ni semuanya laju-laju, kalau slow, engkau pasti kena hon. Yang paling tension ialah orang yang mengimami traffic light. Bila lampu baru je nak bertukar kepada hijau, makmum-makmum yang  lain dan mula tekan hon suruh cepat jalan. Inilah Kolumpo, seiring dengan bandar yang cepat membangun dan sesak. Maknanya kena cepat bangun pergi kerja, kalau tak kenalah tempuh jalan sesak. Hah gitu. 

Satu yang Dato’ puji orang Kolumpo ni, diaorang ni taat pada undang-undang jalan raya. Sanggup diaorang tunggu lampu merah pejalan kaki, walaupun pada masa itu hanya semut  yang melintas, pejalan kaki takde. Maklumlah takut-takut di hadapan sana ada Harimau Biru sedang menunggu. Hah gitu.

Baru-baru ini, Dato’ sedang menunggu traffic light di satu persimpangan di Kolumpo ni. Eh baru-baru ni kan? So kena tukarlah. Apa barang Kolumpo. Hari tu, Dato’ berada di traffic light di satu simpang kat Kay Yel ni, di Wangsa Maju. Lampu tengah merah. Tiba-tiba Dato’ terpandang benda alah ini…

Ini adalah kamera perangkap lampu isyarat atau Red Light Camera. Rasanya kat Kay Yel ni susah nak jumpa kamera perangkap ni dan kalau ada pun kebanyakkan kamera perangkap di Kay Yel ni tak berfungsi. Dulu kat Kay Yel, kamera perangkap lampu isyarat ni memang banyak dan orang takut nak langgar lampu merah. Bila langgar je, kamera ni akan memancarkan cahaya yang macam kilat tepat kat kenderaan kita.


Oh dear, barulah Dato’ mengerti. Rupa-rupanya kilat yang menyabung di muka kami itu 20 tahun lepas datangnya dari cahaya kamera perangkap ini rupanya.

Mak sengaja memberitahu kami yang cahaya itu adalah kilat dan menenangkan kami semua, dan abah berjaya menyembunyikan kerisauan beliau dengan senyumannya. Entah bila masa saman tiba ke rumah dan berapa ratus ringgit saman yang perlu abah bayar masa itu, itu Dato’ tidak tahu dan tidak pun diberitahu. Ternyata ibu dan bapa kita begitu senang untuk tidak mahu menyusahkan kita dan membuatkan kita susah. Kadang-kadang terfikir, mengapakah kita begitu susah untuk mahu menyenangkan mereka dan membuatkan mereka senang?  

Wednesday, March 7, 2012

Mr. Plumber

Dato’ kenal dengan seorang plumber yang selamba. Nama dia Mr. Moo. Cara nak sebut dia, “Mr. Muu”. 2 harakat saja. Jangan lebih, nanti jadi bunyi ternakan pulak. Hah gitu. Jika ada sebarang kerosakan, telefon sahaja dia. Kalau telefon hari ini, semalam pun dia boleh sampai. Eh dah macam ayat Samy Velu pulak. Maksudnya, kalau call sekarang, semalaman dia akan sampai, dalam masa 24 jam. Malam-malam pun dia boleh datang. Beliau akan tiba bersama satu beg mekanik yang berisi segala kelengkapan bertukang dan juga alat ganti untuk mengetuk segala jenis paip,  satu beg resit pembayaran untuk mengetuk customer, satu lampu suluh kepala dan juga satu orang bini beliau.

Bukan setakat kerosakan paip dan air, malah segala yang berkaitan dengan elektrik pun dia boleh kasi settle kecuali bil. Cakap sahaja apa yang rosak. Suis terbakar? Sinki tersumbat? Lampu tak menyala, pintu tak boleh kunci, pintu terkunci dari dalam, barang elektrik rosak? Dengan selamba dia kata dia boleh buat. Semuanya boleh.  Silap-silap kalau engkau kata peti ais tu panas kat luar atau dapur tak berasap pun dia boleh kasi settle, janji engkau settlekan resit yang bakal keluar dari dalam beg dia tu. Padahal peti ais memang panas kat luar dan dapur tak berasap sebab takde barang dapur, semuanya naik harga dan selalu makan kat luar. Hah gitu. Mr. Moo ini ibarat superhero yang akan tiba bila kita perlu dan akan pulang bila kita hulur.

Mr. Moo ni peramah orangnya dan sedikit berumur dalam 50 tahun ke atas. Badan dia agak besar dan sesuailah dengan profession dia nak mengetuk-ngetuk kerana kena guna banyak tenaga. Dari segi IT dan gajet pula, Dato’ tak fikir dia mahir. Dia ni mungkin jenis tak suka chatting, sebab Dato’ pernah sms dia alamat rumah Dato’, dia jawab “ok” je. Besar kemungkinan juga dia ni takde facebook. Ini disebabkan segala kerja-kerja penukangan dan pembaikan dapat disiapkan dalam masa yang cepat. Kalau dia ada facebook, tentu dia tak efficient, sekejap-sekejap duk update facebook. Sekian dimaklumkan.

Dato’ cukup berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Mr. Moo. Ada sekali tu shower heater Dato’ rosak. Selepas dia repair, dia siap ajak sekali masuk dalam shower room. Nampak macam Dato’ dan Mr. Moo tengah mandi sama. Tapi Mr. Moo tak kisah. Janji dia dapat terangkan bagaimana nak guna pakai shower heater tu tanpa bagi cepat rosak.
Shower Heater - Hasil tangan Mr. Moo

Namun begitu isteri Mr. Moo tampak bengis dan tak pernah senyum. Kitaorang merasa jadi takut pula nak senyum, apatah lagi menyapa. Mulut dia sentiasa tertutup dan masam memanjang. Mungkin Mr. Moo sibuk repair sana repair sini, sampai dia lupa nak repair isteri dia sendiri. Hah gitu. Setiap kali kerosakan berlaku di rumah Dato’, isteri dia mesti ikut sekali.

Bab caj yang dikenakan Mr. Moo ni agak mahal sedikit, namun dalam kawasan perumahan kami, Mr. Moo yang paling cekap dan tidak pernah mengecewakan pelanggan dari segi servis. Pernah juga Dato’ cuba tawar menawar caj yang dikenakan. Yang tak bestnya apa-apa berkenaan caj, dia akan merujuk kepada isteri dia dahulu sama ada boleh dikurangkan atau tidak. Tak sanggup Dato’ nak mintak tawar dengan bini Mr. Moo. Karang meletup bini dia, satu hal Mr. Moo nak repair. Kami syak Mr. Moo sengaja membawa bini dia yang garang supaya orang takut nak tawar menawar.

Kerja-kerja yang dilakukan Mr. Moo nampak mudah. Dato’ pernah sound dia, kenapa dia caj mahal sedangkan kerja itu amat mudah untuk dilakukan. Mr. Moo bersetuju dan terus hulur Dato’ screwdriver dan suruh Dato’ buat sendiri. Dato’ tahu yang Mr. Moo bergurau. Tapi bini dia dah pandang semacam dah kat Dato’ masa tu.

Bayangkanlah, ganti suis terbakar dia caj RM50, pasang paip RM50, sinki sumbat RM80, pasang alarm RM80, pasang kepala paip dengan spare part RM150. Ini semua dia pernah caj Dato’. Dato’ pernah bercadang nak tukar kipas yang ada remote control, tapi Mr. Moo tak jual. Dia hanya jual kipas yang 3 bilah, macam orang dulu-dulu pakai. Kipas yang famous dahulu adalah jenis KDK. Kalau nak lajukan kipas kena pulas nombor kat dinding. Nampak macam tak style tapi inilah kipas yang menyejukkan Dato’ sejak lahir. KDK-Kipas Dari Kecil.

Bila pikir-pikir balik, inilah pentingnya ilmu kemahiran hidup atau KDK –Kemahiran Dari Kecil. Ini yang dimiliki oleh Mr. Moo. Bila ada kemahiran, semuanya beres. Asas kehidupan kita dapat lakukan sendiri tanpa perlu mengupah orang dan juga jika kita mahir, kita boleh buat duit dengan kemahiran kita untuk membantu golongan yang tidak mahir seperti yang dibuat oleh Mr. Moo kepada Dato’.

Ilmu Kemahiran Hidup di sekolah pun Dato’ dah lupa, inikan pula nak bertukang sana sini. Yang Dato’ ingat masa belajar kat sekolah dulu iaitu jenis-jenis pili. Sebab budak-budak kelas masa tu selalu gelak-gelak dengan muka annoying masa cikgu sebut bab ini. Ada dua jenis pili - Pili Berbibir dan Pili Bertiang! Yang ini semua orang dapat tangkap, tak perlu panggil Mr. Moo.

Tuesday, March 6, 2012

Jentik-Jentik Politik


Hari Isnin memang biru. Semuanya haru biru. Baju kemeja entah ke mana, singlet mana perginya, seluar dalam pula hilang di luar, stokin hitam pasangannya dah jadi biru. Bila ditanya pula mana pergi beg laptop office, semuanya tergaru-garu. Begitulah penangan hari Isnin setelah hari minggu berlalu. Nak pergi kerja pun tersipu-sipu malu. Tambah-tambah kalau tiba lewat di pejabat pada hari Isnin, boss mengerling mata saja, lidah pun terus kelu.

Hari Isnin memang biru. Dan ketika itu Dato’ memang tergesa-gesa bersiap untuk ke pejabat. Sebelum itu Dato’ ada tugasan yang penting iaitu menghantar anak ke sekolah. Waktu sudah 7.30 pagi. Ah lewatnya! Inilah akibat tak cukup tidur. Bukannya apa, semalam pukul 3 pagi, Dato’ masih belum tidur kerana memberi kaunseling kepada bini. Tapi bini sendiri lah. Hah gitu.

Sudahlah lewat hari itu, kebetulan terserempak pula  budak kecil yang menangis untuk ke sekolah. Mendengarkan teriakan budak lelaki itu menangis pada hari Isnin yang biru, memang cukup pilu. Motivasi Dato’ yang tadinya sedikit meningkat setelah mendapat senyuman manis daripada bangla pam minyak, kini merudum banyak.
Timbul pula prasangka di jiwa. Budak yang menangis itu dalam keadaan bahaya. Mengapa? Dia dalam keadaan bahaya, jika dia diperhatikan oleh bakal musuh-musuh politik beliau satu masa nanti. Dalam erti kata lain, budak yang menangis tidak mahu ke sekolah dinasihatkan untuk tidak terjun ke kancah politik. Kelak akan merana.

Mari kita lihat apa yang mungkin akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang jika beliau memasuki arena politik di dalam Jentik-Jentik Politik. Jangan ambik serius. Jentik sikit je, tak sakit pun, macam kena gigit semut. Hah gitu.
Suasana pada tahun 2042
“Gempar!! ! En. Y menangis enggan ke sekolah” – Suratkhabar Angin

“Eksklusif: Video En. Y menangis mula tersebar” – Suratkhabar Nyamuk

“Budak-budak dari parti ABC usik saya sampai menangis. Ini konspirasi mereka. Saya teraniaya” -  Suratkhabar Parti XYZ

“Insiden ini ternyata memalukan. Beliau (En. Y) seharusnya meletak jawatan. Bagaimana beliau mahu mewakili parlimen beliau untuk berdebat dengan saya jika dirinya chengen?” – Ahli Parlimen ABC
 
"Ini cerita pasai menangis aaa.. membuatkan saya mau ketawa teresak-esak, sampai bumbung mau jatuh". - Menteri Pelbagai Bill dan Lain-Lain, Datuk Yap Yap Ang Gok.


En. Y tukar kenyataan: "Sebenarnya Ana menangis kerana bermunajat”  - Suratkhabar Percuma

Interview bersama Ketua Pembangkang Parti XYZ

W: Dato’ Seri, boleh tak komen isu En. Y menangis di tadika?

KP: Apa isunya? Are you saying Presiden parti ABC tak pernah menangis masa sekolah dulu?

W: Dato’  Seri tak menjawab soalan saya…

KP: Tak, you dari mana? TV4 bukan? U pernah menangis di tadika bukan? So apa isunya?

W: Tapi Dato’ Seri, saya tak pernah masuk tadika…

KP: No, no listen. Pergi tanya Presiden parti ABC, apa dia buat kat tadika dulu.

"Tolong tanya soalan yang berkaitan ye" (Pak pacak sebelah menyampuk)

KP: No… no… no… biar saya jawab. Biar semua orang nampak ini permainan parti ABC. Polis sekarang sedang menyiasat dan mengambil video. Saya difahamkan beliau En Y hanya menangis kerana kegembiraan untuk ke sekolah. Now u pergi tanya Presiden parti ABC, berapa kali mak dia kejut dia bagi bangun pergi sekolah. (Disambut gelak ketawa para hadirin)
Ok next question please…

W: Dato’ Seri… masa sekolah dulu Dato’ Seri pakai jam apa?

Biarkan anak itu menangis di hadapan pintu sekolah. Biarkan anak itu melalak dan meraung  di situ kerana enggan ke sekolah hatta biarkan ia berbaring sekalipun. Tetapi jangan biarkan satu hari nanti dia menangis, melalak, meraung dan berbaring di hadapan pintu universiti.

Sunday, March 4, 2012

Ujian Hidup

Setelah melupakan kejadian yang berlaku pada malam Jumaat semalam, si suami dan si isteri pergi ke pejabat seperti biasa. Hari Jumaat merupakan hari yang paling dinanti oleh semua pekerja makan gaji kerana menantikan hari minggu yang bakal tiba.


Masing-masing telah mempunyai plan aktiviti di dalam kepala mereka dan tidak sabar untuk direalisasikannya kelak bersama yang tersayang. Hari Jumaat juga biasanya hari datang lewat ke masjid bagi lelaki dan hari masuk lewat ke pejabat waktu tengah hari bagi perempuan kerana bershopping . Hah gitu. Namun kedua-dua gender ini telah bersepakat untuk pulang awal ke rumah pada hari itu. Begitulah keistimewaan hari Jumaat.


Begitulah jua yang diharapkan oleh si isteri tersebut. Namun pada hari Jumaat itu, si suami tidak pulang lagi ke rumah, tatkala si isteri sudah berada di rumah. Nasib si isteri baik kerana Aaron Aziz pada masa itu free untuk menemaninya dan bersolat jemaah maghrib bersama di slot drama tempatan di TV.  

Jam berdetik begitu perlahan di dinding rumah. Bukan disebabkan jam batteri AA kehabisan, tetapi disebabkan penantian si isteri yang berpanjangan menanti kepulangan si suami yang tiada khabar berita. SMS dan panggilan tidak dijawab, Facebook si suami tidak diupadate dan Facebook si isteri tidak di “like”. Kalau dulu sebelum kahwin, pantang si isteri update wall facebook, si suami yang mula sekali like. Sebab takut orang lain masuk line. Hah gitu. Satu perkataan yang bermain di fikiran si isteri untuk menjawab misteri kehilangan suaminya iaitu “curang”.

Jarum panjang menghala ke angka 12. Jarum pendek di angka 1. Kelibat si suami mula kelihatan di depan pintu. Si isteri tiba-tiba keluar dari bilik tuan katil bersama jarum kemarahan. Si isteri yang sangsi terhadap suaminya ingin menyoal selidik untuk mengukuhkan tekaannya.

Isteri: Pergi mana baru balik ni?

Suami: Ada mesyuarat malam tadi berkenaan dengan pembukaan kilang kimia baru.

Isteri: Kilang kimia? Mana ada orang nak bukak kilang kimia? Mana selamat, tak sayang undi ke?

Suami: Lyna oh Lyna. Kilang kimia ni selamat. Kilang kimia ni bukan kilang nuklear. Bahan mentah kilang yang bakal dibuka ni bukan bahan radioaktif kerana kandungan radioaktifnya rendah.

Isteri: Are you sure? Siapa yang pergi mesyuarat tadi?

Suami: Biasalah, Dato’ Q, Professor R dan Dr. S.  Lyna tahu kan semuanya pakar sains.

Isteri: Dato’ T ada sama?

Suami: Hurmm… Dato’ T nak buat apa, dia politikus. Nak undi je.

Isteri: U cakap betul-betul ni, u pergi mesyuarat ke pergi mengurat.

Suami: Betullah. I ada satu je Lyna, I takde banyak Lynas. Tengok, soalan u tadi I jawab lancar je. Takkan I nak tipu u.

Isteri: Ok, ini soalan terakhir I. Which number should come next in the series? 1 - 1 - 2 - 3 - 5 - 8 - 13

Suami: Erk… erm… jap.. aish… aaaa… susahnya… emmm…

Isteri:  Masa tamat. Sampai hati u buat I begini. Hantar I balik rumah mak bapak I!

Perkahwinan dengan pasangan IQ rendah itu no problem, tetapi perkahwinan dengan pasangan akhlak rendah itu on problem.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...